1. Kelemahan komunikasi dalam
Bahasa Inggeris
Ramai lepasan siswazah tidak dapat menguasai banyak bahasa
khususnya bahasa antarabangsa atau Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris penting
dalam era globalisasi, liberalisasi dagang dan asakan teknologi maklumat (ICT)
hari ini. Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa yang paling utama atau
bahasa nombor satu dunia. Ia dilihat sebagai bahasa yang membolehkan penduduk
dunia berinteraksi secara mudah dan berkesan di era perkembangan pesat dan
teknologi moden seperti pengenalan televisyen satelit, telefon selular dan
rangkaian komputer malahan hampir 99 peratus maklumat dalam internet adalah
dalam bahasa Inggeris (Ahmad Zahri Jamil, 2002).
Hasil dapatan kajian oleh Adibah & Azizah yang diperolehi
menunjukkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan adalah pada tahap
sederhana. Mereka tidak dapat menguasai kemahiran berkomunikasi secara lisan
dan bertulis dalam bahasa Inggeris dengan baik, tidak menguasai pengetahuan
dalam mata pelajaran yang diajar dalam bahasa Inggeris dengan baik dan kurang
penguasaan bagi bahasa tersebut di dalam kelas. Tahap penggunaan bahasa
Inggeris dalam kalangan graduan juga adalah pada tahap sederhana.
Merujuk kepada Ali & Noordin (2006) telah membuktikan
faktor masalah berkomunikasi ialah tidak penguasaan dalam bahasa Inggeris.
Graduan tidak menguasai bahasa semasa bertutur dalam bahasa Inggeris dengan
baik. Sebenarnya, mereka mempunyai idea yang bernas dan pengetahuan teknikal
yang cukup mantap, tetapi masalah yang timbul ialah mereka tidak dapat
melontarkan idea dan pendapat mereka dalam berbahasa Inggeris serta penggunaan
kata yang terhad.
Dalam mendepani era globalisasi hari ini,
kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa adalah suatu
kelebihan kepada seseorang. Justeru, golongan muda terutama bakal graduan perlu
menguasai bahasa asing bagi membolehkan mereka memasarkan diri dalam persaingan
kompetitif sektor kerjaya. Ini kerana arus pemodenan hari ini menuntut
seseorang itu memiliki kemahiran tambahan yang boleh menjadi pemangkin untuk
melangkah lebih jauh ke hadapan. Bahkan penguasaan pelbagai bahasa akan
memudahkan seseorang untuk memperoleh lebih banyak ilmu pengetahuan kerana
kebanyakannya ditulis dalam bahasa utama seperti Inggeris.
Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa,
agak sukar untuk seseorang berkomunikasi khususnya dengan individu yang
berlainan bangsa. Bahasa lingua franca, Inggeris contohnya digunakan hampir di
seluruh dunia dan jika kita menguasai bahasa berkenaan, sesuatu urusan akan
menjadi lebih mudah. Tony Fernandez merupakan usahawan antarabangsa yang
beroperasi di seluruh dunia dan terlibat dalam banyak urusan pengambilan
pekerja di seluruh dunia. Tony Fernandez
menjadikan keupayaan menguasai Bahasa Inggeris sebagai pra-syarat
sebelum mengambil seseorang itu bekerja dengannya. Ini kerana syarikatnya
terpaksa berurusan dengan semua bangsa di dunia yang menggunakan Bahasa
Inggeris sebagai medium komunikasi.
2. Penampilan Diri (tidak
yakin)
Siswazah perlu mengubah personaliti diri mereka.
Kebanyakan siswazah tidak menyedari bahawa semasa ditemuduga, perkara penting
yang dititikberatkan ialah aspek personaliti diri. Gordon Allport (1961),
mendefinisikan personaliti bermaksud sahsiah peribadi atau perwatakan.
Perkataan personaliti berasal daripada perkataan Latin iaitu persona. Perkataan
persona bermaksud topeng muka yang dipakai pelakon Yunani dalam satu pementasan
drama dalam lakonan. Justeru siswazah disaran supaya sentiasa menjaga
personaliti diri supaya memberi impak positif dalam organisasi mereka bekerja
seperti mengubah cara berpakaian, solekan dan gaya penampilan ke arah yang lebih
positif bukan sebaliknya. Penampilan diri yang kemas, sopan, ceria dan
berwibawa dapat menyakinkan penemu duga untuk berasakan calon tersebut layak
untuk menjadi pekerja dalam organisasinya.
Imej dan penampilan diri boleh ditakrifkan sebagai
pembentukan diri seseorang agar kelihatan menarik dari segi fizikal dan
keperibadian. Beberapa perkara perlu diperhatikan dalam membentuk imej dan
penampilan diri yang menarik dan sopan diantaranya potongan rambut, pakaian,
kebersihan, cara berjalan, gaya bercakap dan juga sikap. Penampilan diri secara
fizikal yang baik sebenarnya mampu meningkatkan keyakinan diri dan memberi
gambaran positif terhadap tanggapan seseorang. Malah kajian oleh laman mencari
pekerjaan secara online, JobStreet.com, menunjukkan 79 peratus majikan
berpendapat bahawa penampilan seseorang calon akan mempengaruhi keputusan
permohonan kerjanya. Ramai menganggap imej hanya luaran - pakaian, solekan dan
gaya tudung tanpa mengetahui imej membawa makna yang sangat meluas. Konsep
rundingan imej ini adalah penjenamaan diri yang mampu membentuk diri seseorang
menjadi lebih positif. Ia bukan mengenai penampilan, tetapi lebih kepada
komunikasi dan bahasa tubuh bagi memupuk keyakinan diri.
Kegagalan para graduan untuk mempersembahkan penampilan diri
yang baik pada sesi temu ramah juga merupakan faktor utama mereka gagal
mendapat pekerjaan yang dipohon. Ada juga yang sanggup lewat menghadiri sesi
temu ramah dengan alasan kesesakan lalu lintas. Menurut laporan New Straits
Times yang bertarikh 14hb Mei 2001, “…many
candidates fail to win their first jobs because they perform badly at
interviews.” Faktor kekurangan keyakinan dan berasa cemas sehingga gagal
menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik dan jelas semasa sesi temu ramah
juga menyebabkan kebanyakan graduan gagal mendapat pekerjaan yang diingini (New
Sunday Times, 14hb Julai 2002).
Imej
profesional melahirkan kuasa, menanam keyakinan diri, memberi pandangan terpuji
dan memelihara persahabatan lantas memantapkan kedudukan kita dalam dunia
korporat. Imej profesional ialah
kombinasi pernyataan pertuturan (verbal) dan pernyataan bukan pertuturan (non
verbal). Oleh itu jika kita mahu diiktiraf sebagai profesional, kita harus
mencerminkan profesionalisme dalam semua aspek - pakaian, gaya, perawakan dan
suara. Orang menilai pembawaan diri kita dengan melihat cara kita berdiri,
berjalan dan duduk, mendengar pertuturan kita, melalui sentuhan tangan ketika
berjabat serta daripada bau badan kita.
3. Memilih Kerja
Sesetengah dari kita tidak langsung memilih kerja di sektor
kerajaan dengan memberi alasan bahwa kerja kerajaan tiada kelas tersendiri.
Sebenarnya tanggapan sebegini perlu dielakkan. Kerja kerajaan merupakan salah
satu saluran untuk mencari rezeki. Oleh sebab terlalu memilih, ramai
graduan yang menganggur. Pemilihan kerjaya di sektor swasta menunjukkan lebih
separuh dari jumlah keseluruhan responden yang kehendak bekerja di sektor
swasta dari sektor kerajaan selepas mereka graduasi. Ini mungkin disebabkan
oleh gaji yang ditawarkan amat tinggi dan bonus tahunan agak lumayan berbanding
sektor-sektor lain yang memberikan kepuasan kerja kepada mereka. Kalau sukar
mencari pekerjaan di sektor swasta, kenapa tidak beralih ke sektor awam? Memilih
kerjaya selepas tamat alam pembelajaran bukanlah sesuatu yang mudah bahkan
tidak semua kerjaya yang diidamkan akan diperoleh, lebih-lebih lagi jumlah
graduan ketika ini yang diibaratkan sebagai `cendawan tumbuh selepas hujan’.
Dalam satu kajian mendapati orang Malaysia cenderung untuk
memilih tempat kerja yang berdekatan dengan tempat tinggal, terutamanya pekerja
operator. Bagi pekerja Malaysia, lokasi tempat kerja adalah faktor yang sangat
penting sewaktu mencari pekerjaan, terutamanya bagi pekerja wanita, mereka
cenderung untuk memilih tempat kerja yang berhampiran dengan tempat tinggal.
Selain itu, kajian mendapati kebanyakan orang Malaysia memperuntukkan
sebahagian daripada pendapatan mereka untuk dihantar atau diberikan kepada
keluarga. Kedua-dua kenyataan ini menerangkan bagaimana hubungan kekeluargaan
yang kuat dalam diri pekerja Malaysia sehinggakan jarak tempat bekerja dengan
keluarga menjadi faktor pemilihan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia,
Datuk Maznah Mazlan berkata sebahagian besar faktor itu membabitkan graduan
sendiri seperti kurang permintaan terhadap bidang pengajian graduan, kurang
kemahiran berkomunikasi, lemah dalam Bahasa Inggeris dari segi penulisan dan
pertuturan. Selain itu terdapat graduan yang enggan berhijrah dari kampung
halaman dan terlalu memilih tempat bekerja manakala sebahagian lagi terlalu
mengharapkan gaji yang tinggi.
Ishak Yussof (2008) menyatakan kebanyakan graduan yang dikaji
68.8% berpendapat bahawa pekerjaan mereka adalah setaraf dengan kelayakan yang
dimiliki. Keadaan ini menggambarkan bahawa bidang pengajian yang diikuti semasa
di universiti adalah agak bersesuaian dengan alam pekerjaan masing-masing.
Namun begitu, dalam masa yang sama hampir 30% daripada kalangan graduan yang
dikaji mengakui bahawa pekerjaan mereka adalah tidak setaraf dengan kelayakan
tersebut. Aspek inilah yang mungkin menyebabkan graduan sukar untuk mendapat
pekerjaan dan seterusnya terpaksa menganggur atau memerlukan masa yang lebih
lama untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih sesuai.
Menurut S. Khairani (2004) pula menyatakan bahawa dalam
keadaan tertentu faktor ekonomi turut mendorong individu bertindak untuk
memilih pekerjaan. Pemilihan profesion dalam badan kerajaan stabil walaupun
berlaku kejatuhan ekonomi adalah antara perkara yang menimbulkan minat yang
tinggi di kalangan individu. Ini kerana profesion yang berada dalam badan
kerajaan dan kebarangkalian untuk kehilangan pekerjaan lebih tipis berbanding
dengan profesion lain yang berada di dalam badan swasta.
Mazlan (2011) mengatakan kebanyakan para graduan menjadi
penganggur kerana kehendak dirinya untuk bekerja mengikut bidang yang mereka
dipelajari, seharusnya mereka perlu mencuba dahulu bekerja dan mengambil
pengalaman serta kemahiran dari pekerjaan lain walaupun mereka bidang yang
berbeza dengan apa yang mereka dibelajari semasa di peringkat pengajian tinggi.