Friday, 2 December 2016

Isu-Isu berkaitan pengangguran



1. Kelemahan komunikasi dalam Bahasa Inggeris
Ramai lepasan siswazah tidak dapat menguasai banyak bahasa khususnya bahasa antarabangsa atau Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris penting dalam era globalisasi, liberalisasi dagang dan asakan teknologi maklumat (ICT) hari ini. Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa yang paling utama atau bahasa nombor satu dunia. Ia dilihat sebagai bahasa yang membolehkan penduduk dunia berinteraksi secara mudah dan berkesan di era perkembangan pesat dan teknologi moden seperti pengenalan televisyen satelit, telefon selular dan rangkaian komputer malahan hampir 99 peratus maklumat dalam internet adalah dalam bahasa Inggeris (Ahmad Zahri Jamil, 2002). 

Hasil dapatan kajian oleh Adibah & Azizah yang diperolehi menunjukkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan adalah pada tahap sederhana. Mereka tidak dapat menguasai kemahiran berkomunikasi secara lisan dan bertulis dalam bahasa Inggeris dengan baik, tidak menguasai pengetahuan dalam mata pelajaran yang diajar dalam bahasa Inggeris dengan baik dan kurang penguasaan bagi bahasa tersebut di dalam kelas. Tahap penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan juga adalah pada tahap sederhana. 

Merujuk kepada Ali & Noordin (2006) telah membuktikan faktor masalah berkomunikasi ialah tidak penguasaan dalam bahasa Inggeris. Graduan tidak menguasai bahasa semasa bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Sebenarnya, mereka mempunyai idea yang bernas dan pengetahuan teknikal yang cukup mantap, tetapi masalah yang timbul ialah mereka tidak dapat melontarkan idea dan pendapat mereka dalam berbahasa Inggeris serta penggunaan kata yang terhad.

Dalam mendepani era globalisasi hari ini, kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa adalah suatu kelebihan kepada seseorang. Justeru, golongan muda terutama bakal graduan perlu menguasai bahasa asing bagi membolehkan mereka memasarkan diri dalam persaingan kompetitif sektor kerjaya. Ini kerana arus pemodenan hari ini menuntut seseorang itu memiliki kemahiran tambahan yang boleh menjadi pemangkin untuk melangkah lebih jauh ke hadapan. Bahkan penguasaan pelbagai bahasa akan memudahkan seseorang untuk memperoleh lebih banyak ilmu pengetahuan kerana kebanyakannya ditulis dalam bahasa utama seperti Inggeris.

Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar untuk seseorang berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Bahasa lingua franca, Inggeris contohnya digunakan hampir di seluruh dunia dan jika kita menguasai bahasa berkenaan, sesuatu urusan akan menjadi lebih mudah. Tony Fernandez merupakan usahawan antarabangsa yang beroperasi di seluruh dunia dan terlibat dalam banyak urusan pengambilan pekerja di seluruh dunia. Tony Fernandez  menjadikan keupayaan menguasai Bahasa Inggeris sebagai pra-syarat sebelum mengambil seseorang itu bekerja dengannya. Ini kerana syarikatnya terpaksa berurusan dengan semua bangsa di dunia yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi. 


2. Penampilan Diri (tidak yakin)
Siswazah perlu mengubah personaliti diri mereka. Kebanyakan siswazah tidak menyedari bahawa semasa ditemuduga, perkara penting yang dititikberatkan ialah aspek personaliti diri. Gordon Allport (1961), mendefinisikan personaliti bermaksud sahsiah peribadi atau perwatakan. Perkataan personaliti berasal daripada perkataan Latin iaitu persona. Perkataan persona bermaksud topeng muka yang dipakai pelakon Yunani dalam satu pementasan drama dalam lakonan. Justeru siswazah disaran supaya sentiasa menjaga personaliti diri supaya memberi impak positif dalam organisasi mereka bekerja seperti mengubah cara berpakaian, solekan dan gaya penampilan ke arah yang lebih positif bukan sebaliknya. Penampilan diri yang kemas, sopan, ceria dan berwibawa dapat menyakinkan penemu duga untuk berasakan calon tersebut layak untuk menjadi pekerja dalam organisasinya.

Imej dan penampilan diri boleh ditakrifkan sebagai pembentukan diri seseorang agar kelihatan menarik dari segi fizikal dan keperibadian. Beberapa perkara perlu diperhatikan dalam membentuk imej dan penampilan diri yang menarik dan sopan diantaranya potongan rambut, pakaian, kebersihan, cara berjalan, gaya bercakap dan juga sikap. Penampilan diri secara fizikal yang baik sebenarnya mampu meningkatkan keyakinan diri dan memberi gambaran positif terhadap tanggapan seseorang. Malah kajian oleh laman mencari pekerjaan secara online, JobStreet.com, menunjukkan 79 peratus majikan berpendapat bahawa penampilan seseorang calon akan mempengaruhi keputusan permohonan kerjanya. Ramai menganggap imej hanya luaran - pakaian, solekan dan gaya tudung tanpa mengetahui imej membawa makna yang sangat meluas. Konsep rundingan imej ini adalah penjenamaan diri yang mampu membentuk diri seseorang menjadi lebih positif. Ia bukan mengenai penampilan, tetapi lebih kepada komunikasi dan bahasa tubuh bagi memupuk keyakinan diri.

Kegagalan para graduan untuk mempersembahkan penampilan diri yang baik pada sesi temu ramah juga merupakan faktor utama mereka gagal mendapat pekerjaan yang dipohon. Ada juga yang sanggup lewat menghadiri sesi temu ramah dengan alasan kesesakan lalu lintas. Menurut laporan New Straits Times yang bertarikh 14hb Mei 2001, “…many candidates fail to win their first jobs because they perform badly at interviews.” Faktor kekurangan keyakinan dan berasa cemas sehingga gagal menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik dan jelas semasa sesi temu ramah juga menyebabkan kebanyakan graduan gagal mendapat pekerjaan yang diingini (New Sunday Times, 14hb Julai 2002).

Imej profesional melahirkan kuasa, menanam keyakinan diri, memberi pandangan terpuji dan memelihara persahabatan lantas memantapkan kedudukan kita dalam dunia korporat.  Imej profesional ialah kombinasi pernyataan pertuturan (verbal) dan pernyataan bukan pertuturan (non verbal). Oleh itu jika kita mahu diiktiraf sebagai profesional, kita harus mencerminkan profesionalisme dalam semua aspek - pakaian, gaya, perawakan dan suara. Orang menilai pembawaan diri kita dengan melihat cara kita berdiri, berjalan dan duduk, mendengar pertuturan kita, melalui sentuhan tangan ketika berjabat serta daripada bau badan kita.



3. Memilih Kerja
Sesetengah dari kita tidak langsung memilih kerja di sektor kerajaan dengan memberi alasan bahwa kerja kerajaan tiada kelas tersendiri. Sebenarnya tanggapan sebegini perlu dielakkan. Kerja kerajaan merupakan salah satu saluran untuk mencari rezeki. Oleh sebab terlalu memilih, ramai graduan yang menganggur. Pemilihan kerjaya di sektor swasta menunjukkan lebih separuh dari jumlah keseluruhan responden yang kehendak bekerja di sektor swasta dari sektor kerajaan selepas mereka graduasi. Ini mungkin disebabkan oleh gaji yang ditawarkan amat tinggi dan bonus tahunan agak lumayan berbanding sektor-sektor lain yang memberikan kepuasan kerja kepada mereka. Kalau sukar mencari pekerjaan di sektor swasta, kenapa tidak beralih ke sektor awam? Memilih kerjaya selepas tamat alam pembelajaran bukanlah sesuatu yang mudah bahkan tidak semua kerjaya yang diidamkan akan diperoleh, lebih-lebih lagi jumlah graduan ketika ini yang diibaratkan sebagai `cendawan tumbuh selepas hujan’.

Dalam satu kajian mendapati orang Malaysia cenderung untuk memilih tempat kerja yang berdekatan dengan tempat tinggal, terutamanya pekerja operator. Bagi pekerja Malaysia, lokasi tempat kerja adalah faktor yang sangat penting sewaktu mencari pekerjaan, terutamanya bagi pekerja wanita, mereka cenderung untuk memilih tempat kerja yang berhampiran dengan tempat tinggal. Selain itu, kajian mendapati kebanyakan orang Malaysia memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk dihantar atau diberikan kepada keluarga. Kedua-dua kenyataan ini menerangkan bagaimana hubungan kekeluargaan yang kuat dalam diri pekerja Malaysia sehinggakan jarak tempat bekerja dengan keluarga menjadi faktor pemilihan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata sebahagian besar faktor itu membabitkan graduan sendiri seperti kurang permintaan terhadap bidang pengajian graduan, kurang kemahiran berkomunikasi, lemah dalam Bahasa Inggeris dari segi penulisan dan pertuturan. Selain itu terdapat graduan yang enggan berhijrah dari kampung halaman dan terlalu memilih tempat bekerja manakala sebahagian lagi terlalu mengharapkan gaji yang tinggi.

Ishak Yussof (2008) menyatakan kebanyakan graduan yang dikaji 68.8% berpendapat bahawa pekerjaan mereka adalah setaraf dengan kelayakan yang dimiliki. Keadaan ini menggambarkan bahawa bidang pengajian yang diikuti semasa di universiti adalah agak bersesuaian dengan alam pekerjaan masing-masing. Namun begitu, dalam masa yang sama hampir 30% daripada kalangan graduan yang dikaji mengakui bahawa pekerjaan mereka adalah tidak setaraf dengan kelayakan tersebut. Aspek inilah yang mungkin menyebabkan graduan sukar untuk mendapat pekerjaan dan seterusnya terpaksa menganggur atau memerlukan masa yang lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih sesuai.

Menurut S. Khairani (2004) pula menyatakan bahawa dalam keadaan tertentu faktor ekonomi turut mendorong individu bertindak untuk memilih pekerjaan. Pemilihan profesion dalam badan kerajaan stabil walaupun berlaku kejatuhan ekonomi adalah antara perkara yang menimbulkan minat yang tinggi di kalangan individu. Ini kerana profesion yang berada dalam badan kerajaan dan kebarangkalian untuk kehilangan pekerjaan lebih tipis berbanding dengan profesion lain yang berada di dalam badan swasta.


Mazlan (2011) mengatakan kebanyakan para graduan menjadi penganggur kerana kehendak dirinya untuk bekerja mengikut bidang yang mereka dipelajari, seharusnya mereka perlu mencuba dahulu bekerja dan mengambil pengalaman serta kemahiran dari pekerjaan lain walaupun mereka bidang yang berbeza dengan apa yang mereka dibelajari semasa di peringkat pengajian tinggi. 

No comments:

Post a Comment