Monday, 5 December 2016

Kerjaya Anda





Assalammualaikum dan salam sejahtera. Selamat datang ke Blog Impian Kerjaya! Blog ini akan memberikan maklumat-maklumat berkaitan kerjaya dan sesi percambahan melalui forum adalah amat digalakkan. Kami akan sedaya upaya untuk berkongsi maklumat kepada anda semua.

Selamat melayari blog ini...

Inventori Personaliti Sidek



Inventori personaliti adalah inventori atau ujian untuk mengenal pasti ciri-ciri atau tret-tret personaliti individu. Ujian personaliti ini adalah ujian yang mempunyai format jawapan ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Respons individu kepada item-item yang terkandung dalam ujian dikatakan dapat menerangkan ciri-ciri personaliti individu. Inventori Personaliti Sidek atau singkatannya IPS misalnya mempunyai 15 skala yang mampu mengenal pasti 15 ciri-ciri personaliti individu.


                Inventori Personaliti Sidek adalah satu alat ukuran yang bertujuan untuk mengukur atau mengenal pasti trait-trait atau ciri-ciri personaliti berikut, iaitu; Agresif, Analitikal, Autonomi, Bersandar, Ekstrovert, Intelektual, Introvert, Kepelbagaian, Ketahanan, Kritik Diri, Mengawal, Menolong, Sokongan, Struktur dan Pencapaian. Alat ukuran ini juga mengandungi skala penipuan untuk menentukan kejujuran responden dalam menjawab item ujian.

Untuk menjawab inventori anda boleh KLIK SINI
Untuk pengiraan KLIK SINI

Ujian Personaliti

Catherine Briggs dan anaknya Isabel Myers telah menghasilkan empat dimensi personaliti iaitu dimensi Extraversion dan Introversion, dimensi Sensing dan Intuitive, dimensi Thinking dan Feeling dan juga dimensi Judging dan Perceiving.

Extraversion (ekstrovert) suka bergaul dengan ramai orang, suka bercakap, berjenaka, berfikiran terbuka, bertenaga bila berada dalam suatu kumpulan, bercakap dulu sebelum berfikir, tidak suka menyatakan sesuatu dengan tulisan, kurang berminat ambil tahu apa yang berlaku pada seseorang, mudah hilang kesabaran dan emosi cepat berubah.

Introversion (introvert) bertentangan dengan ekstrovert iaitu pemalu, pendiam, suka menyendiri, mengelak daripada berjumpa dengan orang ramai, beri peluang kepada orang lain dalam percakapan dan perbahasan, menyatakan idea dalam bentuk tulisan, tidak mengambil berat apa yang berlaku di luar tetapi mementingkn sifat diri seseorang.

Sensing (penderiaan) menggunakan secara praktikal sumber maklumat yang kukuh, jelas dan nyata, mental memikirkan keadaan semasa dan baik dalam memperkatakan pengalaman yang lepas.

Intuitive (intuisi) suka maklumat yang kabur, tekaan dan berkhayal, menggunakan khayalan apa kemungkinan akan berlaku, mental memikirkan masa hadapan dan ingatan mengutamakan kepada melihat corak, mencari hubungan dan makna serta baik dalam pemahaman teori.

Thinking (berfikir) mengutamakan tugas dan pekerjaan yang sempurna, pencarian kepada fakta yang logik dalam buat keputusan, menyediakan objektif analisa yang kritikal dan mengakui persilisihan faham dengan manusia sebagai hubungan yang biasa.

Feeling (perasaan) mengutamakan pertimbangan antara kehendak dan tindakan manusia, bersetuju kepada cadangan yang popular, pencarian menggunakan perasaan manusia dalam membuat keputusan dan tidak bersetuju dalam perselisihan faham serta mengambil tindakan diluar dugaan.

Judging (penghakiman) membuat rancangan lengkap sebelum sesuatu tindakan, elakkan tekanan perasaan hingga ke garisan terakhir dalam menjalankan tugas, meletakkan target (sasaran) dan menilai masa sebagai aturan hidup.


Perceiving (pengamatan) lebih selesa bergerak dalam buat tindakan terus tanpa rancangan, toleransi dengan tekanan perasaan dalam bekerja, menggemari kepelbagaian dan kebebasan dalam matlamat kehidupan.

Buasir Otak: Memahami personaliti dengan ujian Myers Briggs:

Self Directed Search

Self Directed Search merupakan panduan ke arah pengurusan pembelajaran dan kerja. SDS ini berdasarkan kajian terhadap bagaimana manusia memilih bidang kerjaya masing-masing. Teknik SDS digunakan secara meluas di serata dunia. 

Teori Self Directed Search (SDS) yang dikemukakan oleh Dr John Holland merupakan satu bentuk alatan yang digunakan untuk mentafsir diri seseorang dan dapat membantu memberi cadangan peluang pekerjaan yang sesuai dengan diri mereka. Pengguna hanya perlu menjawab soalan-soalan SDS berdasarkan minat, kecekapan, keyakinan, aktiviti serta cita-cita mereka. Teori SDS ini direkabentuk untuk membantu pelajar dan golongan dewasa mencari peluang pekerjaan, pembelajaran dan pengurusan kerjaya. SDS telah dicipta oleh Dr John Holland pada tahun 1971 berdasarkan kajian beliau terhadap pembentukan personaliti manusia terhadap persekitaran tempat kerja. Teori ‘RIASEC’ yang dikemukakan oleh beliau dikategorikan berdasarkan enam jenis personaliti iaitu Realistic, Inventigative, Artistic, Social, Enterprising dan Convensional.



Realistic (R) 

Jenis R ini biasanya sukakan bekerja dengan benda daripada bekerja dengan orang. Jenis R boleh dikatakan sebagai jujur, asli, keras kepala, berterus terang, rendah diri, materialistik, sederhana, normal, tekun, praktikal, pemalu dan berjimat cermat. Antara kerjaya yang boleh diceburi oleh orang yang memiliki ciri-ciri R ialah mekanik, juruteknik elektrik, pekebun, juruarah pesawat dan juruukur. Mereka ini biasanya memiliki kebolehan dalam mekanikal dan aktif bersukan serta suka bekerja di luar pejabat dan bekerja dengan mesin dan peralatan. 

Investigative (I) 

Jenis I biasanya suka menjelajah dan memahami sesuatu perkara atau kejadian daripada meyakinkan seseorang atau menjual barang-barang. Jenis I ini boleh dikatakan sebagai analitik, berhati-hati, komplek, kritikal, bersifat ingin tahu, bebas, intelektual, tepat, waras dan tidak ramah. Antara kerjaya yang boleh diceburi oleh golongan jenis I ini ialah ahli biologi, ahli fizik, ahli kaji manusia, pembantu makmal dan juruteknik perubatan. Jenis I ini biasanya berkeupayaan dalam bidang matematik dan sains dan mereka suka bekerja bersendirian untuk menyelesaikan masalah. 

Artistic (A) 

Jenis A biasanya suka bekerja dengan menyumbangkan idea-idea yang kreatif dan ekspresi diri sendiri. Golongan ini tidak terkongkong dengan rutin dan peraturan. Jenis A ini boleh dikategorikan sebagai seorang yang rumit, emosi, mempunyai idea yang banyak, suka berimaginasi, bebas, bersifat terbuka, tidak praktikal dan bersifat dorongan. Mereka yang tergolong dalam jenis A ini boleh menjadi komposer, pemuzik, pengarah pentas, penari, perekabentuk hiasan dalaman rumah, pelakon, dan penulis. Mereka ini biasanya mempunyai kebolehan artistik, menikmati ciptaan kerja yang asli dan mempunyai daya imaginasi yang bagus. 

Social (S) 

 Jenis S biasanya suka membantu, mengajar, dan membimbing orang. Mereka ini tidak suka melibatkan diri dengan alatan mekanikal atau teknikal. Mereka yang tergolong dalam jenis S ini boleh dikategorikan sebagai suka meyakinkan orang, bersifat bekerjasama, mudah mesra, baik hati, suka membantu, penyabar, bertanggungjawab, sosial, dan seorang yang memahami. Antara kerjaya yang boleh diceburi oleh golongan ini ialah guru, ahli terapi, pekerja keagamaan, kaunselor, dan jururawat. Mereka ini biasanya suka berada bersama orang, suka melihat bagaimana manusia mesra sesama mereka, dan suka membantu mereka yang mempunyai masalah. 

Enterprising (E)

Jenis E biasanya suka kepada meyakinkan atau mengarah orang lain. Golongan ini tidak suka dikaitkan dengan bidang saintifik atau topik yang rumit. Mereka yang tergolong dalam jenis E ini boleh dikategorikan sebagai suka memperoleh, suka mengembara, menyenangkan, bercita-cita, menguasai, bertenaga, optimistik, popular, yakin pada diri sendiri dan bersosial. Antara kerjaya yang boleh diceburi oleh golongan ini ialah pembeli, pengajur sukan, produser televisyen, ahli perniagaan, jurujual, ejen pelancongan, dan pengarah. Mereka ini biasanya mempunyai kepimpinan yang tinggi dan mempunyai kebolehan bercakap di khalayak ramai serta minat terhadap duit dan politik. 

Conventional (C) 

Jenis C biasanya suka mengikut rutin yang telah ditetapkan, mengelakkan kerja yang tidak mempunyai arah tujuan dan suka mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Mereka yang tergolongan dalam jenis C ini boleh dikatakan sebagai seorang yang berhati-hati, sesuai, cekap, penghalang, patuh, tertib, praktikal dan tidak mempunyai daya imaginasi. Antara kerjaya yang sesuai bagi golongan ini ialah analisis kewangan, akauntan, pakar cukai, setiausaha, dan penyampai radio. Golongan jenis C ini mempunyai kebolehan dalam matematik dan suka bekerja di dalam pejabat serta suka mengatur sesuatu.

Image result for question mark

Pengangguran


Pendahuluan 
Pengangguran sering kali dikaitkan dengan lebihan penawaran buruh di pasaran. Keadaan ini biasanya dikaitkan juga dengan masalah yang sering melanda kawasan luar bandar atau pun di negara yang mundur kesan daripada aktiviti ekonomi tidak berkembang dan seterusnya tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk penduduk masing-masing. Namun begitu masalah penggangguran juga terjadi di kawasan bandar dan negara-negara membangun, malah di negara maju turut berlaku. Masalah ini terjadi kerana kekosongan pekerjaan yang ada tidak dapat dipenuhi atas sebab-sebab yang tertentu. Sama ada ianya berpunca daripada pihak yang menganggur atau dari pihak majikan sendiri. Faktor-faktor yang menyebabkan pengangguran ini juga boleh dilihat dari sudut permintaan buruh atau penawaran buruh. Terdapat banyak kajian lepas yang mengkaji faktor penentu pengangguran samada dari prespektif mikroekonomi ataupun dari perspektif makroekonomi.

Penganggur merujuk dalam kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, 2015 adalah mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetapi berminat untuk bekerja. Terdapat dua kumpulan penganggur iaitu penganggur aktif dan penganggur tidak aktif. Penganggur aktif termasuk mereka yang tidak bekerja semasa minggu rujukan iaitu semasa pelaksanaan kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia tetapi bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan dalam minggu tersebut. Penganggur tidak aktif adalah seperti berikut:

a) mereka yang tidak mencari pekerjaan kerana percaya tidak terdapat pekerjaan ataupun tidak berkelayakan;
b) mereka yang mungkin mencari pekerjaan jika tidak kerana sakit atau cuaca buruk;
c) mereka yang menunggu jawapan permohonan pekerjaan; dan
d) mereka yang telah mencari pekerjaan sebelum minggu rujukan semasa pelaksanaan kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2015).

Di Malaysia isu pengganguran yang selalu diketengahkan di media cetak dan elektronik ialah isu pengangguran dalam kalangan graduan. Meskipun telah mempunyai kelayakan ijazah, ramai graduan di Malaysia belum mempunyai pekerjaan. Di mana silapnya? Adakah silap graduan kerana terlalu memilih pekerjaan? Ataupun kursus yang ditawarkan di universiti banyak yang tidak relevan dengan pekerjaan? Banyak persoalan yang boleh ditimbulkan. Lebih memburukkan lagi apabila lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) diluluskan untuk menawarkan pelbagai program pengajian. Jumlah graduan hasil daripada IPTS saban tahun meningkat dengan banyak dan ramai beranggapan universiti-universiti dan kolej-kolej swasta dalam tempoh 10 tahun ini laksana industri kilang yang menghasilkan tenaga kerja melebihi daripada permintaan oleh industri pekerjaan. Bagi mereka yang berhenti kerja dan cuba mendapat pekerjaan baru juga turut mengalami masalah ini. Terdapat juga penganggur yang telah berhenti bekerja pada 3 tahun yang lepas tetapi masih gagal sehingga hari ini mendapatkan pekerjaan tetap meskipun mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang pekerjaan. Malah ada yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda atau Ijazah Sarjana.

Isu berkaitan pengangguran di kalangan graduan sering diperkatakan di kalangan masyarakat dan boleh dianggap sebagai satu kegagalan sistem pendidikan peringkat tinggi negara dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri. Walaupun banyak penambahbaikan telah dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi tahap kebolehpasaran graduan di IPTA, masih terdapat lagi banyak rungutan yang dikemukakan oleh para majikan tentang kualiti para graduan ini. Antara rungutan yang sering dikemukakan oleh para majikan adalah kelemahan para graduan dalam aspek kemahiran insaniah (soft skills) seperti kemahiran komunikasi, penguasaan bahasa Inggeris dan sebagainya. Menurut kajian yang dijalankan oleh pihak Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), terdapat lima faktor yang menyebabkan graduan sukar untuk mendapatkan pekerjaan iaitu kekurangan kemahiran dan pengalaman kerja, ketidaksepadanan antara keperluan industri dengan bidang pengajian graduan, kurang keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik terutamanya dalam Bahasa Inggeris, sikap negatif sesetengah graduan terhadap pekerjaan dan kurangnya kesedaran tentang kewujudan berbagai-bagai peluang pekerjaan.

Komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan bagi menangani masalah ini menggambarkan bahawa fenomena pengangguran graduan bukan sahaja memberi impak negatif kepada negara dan ekonomi, malah sosial dan politik. Daripada segi ekonomi, masalah pengangguran ini dilihat sebagai satu pembaziran sumber tenaga yang amat bernilai apabila pelaburan kerajaan secara besar-besaran dalam sistem pendidikan tinggi tempatan tidak mendapat pulangan sewajarnya (Lim et al, 2002). Kadar pulangan masa hadapan daripada golongan ini didapati tidak setimpal dengan kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk menyediakan pendidikan tinggi kepada mereka. Ini sejajar dengan apa yang dikatakan oleh Siti Hajar & Zaini (1989; 262):

"Wang berjuta-juta ringgit telah tercurah guna memberi ilmu kepada golongan ini, menjadikan mereka satu pelaburan guna tenaga yang tidak boleh dipersiakan. Wang telah habis, budi tidak bertabur"


Pendidikan membolehkan setiap individu menguasai ilmu pengetahuan dan seterusnya mampu mengatasi ranjau dan rintangan-rintangan kehidupan. Usaha kerajaan yang begitu gigih untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup dan seterusnya dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat dapat dilihat menerusi pembentukan pelbagai agensi di peringkat persekutuan, wilayah dan negeri bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk faedah-faedah rakyat. Jelas sekali menerusi usul Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, kadar pengangguran di Malaysia telah menurun daripada 7.4 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 2.9 peratus pada 2014. 

Friday, 2 December 2016

Isu-Isu berkaitan pengangguran



1. Kelemahan komunikasi dalam Bahasa Inggeris
Ramai lepasan siswazah tidak dapat menguasai banyak bahasa khususnya bahasa antarabangsa atau Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris penting dalam era globalisasi, liberalisasi dagang dan asakan teknologi maklumat (ICT) hari ini. Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa yang paling utama atau bahasa nombor satu dunia. Ia dilihat sebagai bahasa yang membolehkan penduduk dunia berinteraksi secara mudah dan berkesan di era perkembangan pesat dan teknologi moden seperti pengenalan televisyen satelit, telefon selular dan rangkaian komputer malahan hampir 99 peratus maklumat dalam internet adalah dalam bahasa Inggeris (Ahmad Zahri Jamil, 2002). 

Hasil dapatan kajian oleh Adibah & Azizah yang diperolehi menunjukkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan adalah pada tahap sederhana. Mereka tidak dapat menguasai kemahiran berkomunikasi secara lisan dan bertulis dalam bahasa Inggeris dengan baik, tidak menguasai pengetahuan dalam mata pelajaran yang diajar dalam bahasa Inggeris dengan baik dan kurang penguasaan bagi bahasa tersebut di dalam kelas. Tahap penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan juga adalah pada tahap sederhana. 

Merujuk kepada Ali & Noordin (2006) telah membuktikan faktor masalah berkomunikasi ialah tidak penguasaan dalam bahasa Inggeris. Graduan tidak menguasai bahasa semasa bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Sebenarnya, mereka mempunyai idea yang bernas dan pengetahuan teknikal yang cukup mantap, tetapi masalah yang timbul ialah mereka tidak dapat melontarkan idea dan pendapat mereka dalam berbahasa Inggeris serta penggunaan kata yang terhad.

Dalam mendepani era globalisasi hari ini, kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa adalah suatu kelebihan kepada seseorang. Justeru, golongan muda terutama bakal graduan perlu menguasai bahasa asing bagi membolehkan mereka memasarkan diri dalam persaingan kompetitif sektor kerjaya. Ini kerana arus pemodenan hari ini menuntut seseorang itu memiliki kemahiran tambahan yang boleh menjadi pemangkin untuk melangkah lebih jauh ke hadapan. Bahkan penguasaan pelbagai bahasa akan memudahkan seseorang untuk memperoleh lebih banyak ilmu pengetahuan kerana kebanyakannya ditulis dalam bahasa utama seperti Inggeris.

Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar untuk seseorang berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Bahasa lingua franca, Inggeris contohnya digunakan hampir di seluruh dunia dan jika kita menguasai bahasa berkenaan, sesuatu urusan akan menjadi lebih mudah. Tony Fernandez merupakan usahawan antarabangsa yang beroperasi di seluruh dunia dan terlibat dalam banyak urusan pengambilan pekerja di seluruh dunia. Tony Fernandez  menjadikan keupayaan menguasai Bahasa Inggeris sebagai pra-syarat sebelum mengambil seseorang itu bekerja dengannya. Ini kerana syarikatnya terpaksa berurusan dengan semua bangsa di dunia yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi. 


2. Penampilan Diri (tidak yakin)
Siswazah perlu mengubah personaliti diri mereka. Kebanyakan siswazah tidak menyedari bahawa semasa ditemuduga, perkara penting yang dititikberatkan ialah aspek personaliti diri. Gordon Allport (1961), mendefinisikan personaliti bermaksud sahsiah peribadi atau perwatakan. Perkataan personaliti berasal daripada perkataan Latin iaitu persona. Perkataan persona bermaksud topeng muka yang dipakai pelakon Yunani dalam satu pementasan drama dalam lakonan. Justeru siswazah disaran supaya sentiasa menjaga personaliti diri supaya memberi impak positif dalam organisasi mereka bekerja seperti mengubah cara berpakaian, solekan dan gaya penampilan ke arah yang lebih positif bukan sebaliknya. Penampilan diri yang kemas, sopan, ceria dan berwibawa dapat menyakinkan penemu duga untuk berasakan calon tersebut layak untuk menjadi pekerja dalam organisasinya.

Imej dan penampilan diri boleh ditakrifkan sebagai pembentukan diri seseorang agar kelihatan menarik dari segi fizikal dan keperibadian. Beberapa perkara perlu diperhatikan dalam membentuk imej dan penampilan diri yang menarik dan sopan diantaranya potongan rambut, pakaian, kebersihan, cara berjalan, gaya bercakap dan juga sikap. Penampilan diri secara fizikal yang baik sebenarnya mampu meningkatkan keyakinan diri dan memberi gambaran positif terhadap tanggapan seseorang. Malah kajian oleh laman mencari pekerjaan secara online, JobStreet.com, menunjukkan 79 peratus majikan berpendapat bahawa penampilan seseorang calon akan mempengaruhi keputusan permohonan kerjanya. Ramai menganggap imej hanya luaran - pakaian, solekan dan gaya tudung tanpa mengetahui imej membawa makna yang sangat meluas. Konsep rundingan imej ini adalah penjenamaan diri yang mampu membentuk diri seseorang menjadi lebih positif. Ia bukan mengenai penampilan, tetapi lebih kepada komunikasi dan bahasa tubuh bagi memupuk keyakinan diri.

Kegagalan para graduan untuk mempersembahkan penampilan diri yang baik pada sesi temu ramah juga merupakan faktor utama mereka gagal mendapat pekerjaan yang dipohon. Ada juga yang sanggup lewat menghadiri sesi temu ramah dengan alasan kesesakan lalu lintas. Menurut laporan New Straits Times yang bertarikh 14hb Mei 2001, “…many candidates fail to win their first jobs because they perform badly at interviews.” Faktor kekurangan keyakinan dan berasa cemas sehingga gagal menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik dan jelas semasa sesi temu ramah juga menyebabkan kebanyakan graduan gagal mendapat pekerjaan yang diingini (New Sunday Times, 14hb Julai 2002).

Imej profesional melahirkan kuasa, menanam keyakinan diri, memberi pandangan terpuji dan memelihara persahabatan lantas memantapkan kedudukan kita dalam dunia korporat.  Imej profesional ialah kombinasi pernyataan pertuturan (verbal) dan pernyataan bukan pertuturan (non verbal). Oleh itu jika kita mahu diiktiraf sebagai profesional, kita harus mencerminkan profesionalisme dalam semua aspek - pakaian, gaya, perawakan dan suara. Orang menilai pembawaan diri kita dengan melihat cara kita berdiri, berjalan dan duduk, mendengar pertuturan kita, melalui sentuhan tangan ketika berjabat serta daripada bau badan kita.



3. Memilih Kerja
Sesetengah dari kita tidak langsung memilih kerja di sektor kerajaan dengan memberi alasan bahwa kerja kerajaan tiada kelas tersendiri. Sebenarnya tanggapan sebegini perlu dielakkan. Kerja kerajaan merupakan salah satu saluran untuk mencari rezeki. Oleh sebab terlalu memilih, ramai graduan yang menganggur. Pemilihan kerjaya di sektor swasta menunjukkan lebih separuh dari jumlah keseluruhan responden yang kehendak bekerja di sektor swasta dari sektor kerajaan selepas mereka graduasi. Ini mungkin disebabkan oleh gaji yang ditawarkan amat tinggi dan bonus tahunan agak lumayan berbanding sektor-sektor lain yang memberikan kepuasan kerja kepada mereka. Kalau sukar mencari pekerjaan di sektor swasta, kenapa tidak beralih ke sektor awam? Memilih kerjaya selepas tamat alam pembelajaran bukanlah sesuatu yang mudah bahkan tidak semua kerjaya yang diidamkan akan diperoleh, lebih-lebih lagi jumlah graduan ketika ini yang diibaratkan sebagai `cendawan tumbuh selepas hujan’.

Dalam satu kajian mendapati orang Malaysia cenderung untuk memilih tempat kerja yang berdekatan dengan tempat tinggal, terutamanya pekerja operator. Bagi pekerja Malaysia, lokasi tempat kerja adalah faktor yang sangat penting sewaktu mencari pekerjaan, terutamanya bagi pekerja wanita, mereka cenderung untuk memilih tempat kerja yang berhampiran dengan tempat tinggal. Selain itu, kajian mendapati kebanyakan orang Malaysia memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk dihantar atau diberikan kepada keluarga. Kedua-dua kenyataan ini menerangkan bagaimana hubungan kekeluargaan yang kuat dalam diri pekerja Malaysia sehinggakan jarak tempat bekerja dengan keluarga menjadi faktor pemilihan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata sebahagian besar faktor itu membabitkan graduan sendiri seperti kurang permintaan terhadap bidang pengajian graduan, kurang kemahiran berkomunikasi, lemah dalam Bahasa Inggeris dari segi penulisan dan pertuturan. Selain itu terdapat graduan yang enggan berhijrah dari kampung halaman dan terlalu memilih tempat bekerja manakala sebahagian lagi terlalu mengharapkan gaji yang tinggi.

Ishak Yussof (2008) menyatakan kebanyakan graduan yang dikaji 68.8% berpendapat bahawa pekerjaan mereka adalah setaraf dengan kelayakan yang dimiliki. Keadaan ini menggambarkan bahawa bidang pengajian yang diikuti semasa di universiti adalah agak bersesuaian dengan alam pekerjaan masing-masing. Namun begitu, dalam masa yang sama hampir 30% daripada kalangan graduan yang dikaji mengakui bahawa pekerjaan mereka adalah tidak setaraf dengan kelayakan tersebut. Aspek inilah yang mungkin menyebabkan graduan sukar untuk mendapat pekerjaan dan seterusnya terpaksa menganggur atau memerlukan masa yang lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih sesuai.

Menurut S. Khairani (2004) pula menyatakan bahawa dalam keadaan tertentu faktor ekonomi turut mendorong individu bertindak untuk memilih pekerjaan. Pemilihan profesion dalam badan kerajaan stabil walaupun berlaku kejatuhan ekonomi adalah antara perkara yang menimbulkan minat yang tinggi di kalangan individu. Ini kerana profesion yang berada dalam badan kerajaan dan kebarangkalian untuk kehilangan pekerjaan lebih tipis berbanding dengan profesion lain yang berada di dalam badan swasta.


Mazlan (2011) mengatakan kebanyakan para graduan menjadi penganggur kerana kehendak dirinya untuk bekerja mengikut bidang yang mereka dipelajari, seharusnya mereka perlu mencuba dahulu bekerja dan mengambil pengalaman serta kemahiran dari pekerjaan lain walaupun mereka bidang yang berbeza dengan apa yang mereka dibelajari semasa di peringkat pengajian tinggi.